PERAK FC menyambung kontrak pemain defensif tengah, Sunday Kolawole Afolabi selama dua tahun lagi, selepas prestasi cemerlangnya di padang selama dua bulan lepas.

Afolabi adalah salah satu pemain defensif utama yang menyumbang kepada perjuangan The Bos Gaurus untuk keluar dari zon penyingkiran Liga Perdana Malaysia.

“Saya sangat teruja apabila menjadi sebahagian daripada kelab Perak FC dan sambutan yang mereka berikan kepada saya.

“Saya datang untuk meningkatkan prestasi kerjaya saya. Hubungan antara saya dan pasukan sangat mesra dan saya akan terus bersungguh di setiap perlawanan,” kata Afolabi yang tersenyum.

Pemain berusia 23 tahun itu menyertai Perak FC pada Jun 2022 selepas bermain di beberapa negara seperti Portugal, Slovakia dan Republik Czech.

Afolabi terus viral di laman sosial selepas telatah menarinya di padang, dirakam oleh peminat di Stadium UiTM di Selangor.

Afolabi bersama Bobie (kanan) dan Yusri Che Lah.

Pada masa lapangnya, Afolabi melakukan banyak kajian tentang kelab dan lawannya. Matlamatnya ialah ingin menjadi sebahagian daripada pasukan yang akan membawa Perak FC kembali ke zaman kegemilangannya.

“Ini hanya permulaan. Kegemilangan akan kembali pada masa yang terdekat. Saya bukan sahaja di sini sebagai pemain, saya di sini untuk membuat perubahan dalam hidup saya dan menjadi senjata bagi jurulatih untuk ditempatkan di atas padang.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pengurusan, jurulatih, peminat dan pemain atas peluang ini. Saya amat menghargainya,” tambah Afolabi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC Bobie Farid Shamsuddin turut mengucapkan terima kasih kepada Afolabi atas komitmen dan sumbangannya kepada pasukan.

“Sunday datang kepada kami sebagai bakat mentah, tetapi dia memiliki hati yang besar dan sentiasa mengidam untuk menang.

“Kami ingin memupuk sikap seperti ini, untuk membawa kelab kembali ke zaman kegemilangannya.

“Dia masih muda dan mengambil masa untuk mempelajari budaya Malaysia,” katanya.