TERLALU banyak berfikir, mahu melaksanakan game plan berbeza, menjadi antara punca kekalahan beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah di Masters Jepun pada Jumaat.
Jurulatih, Hoon Thien How yang mengiringi pemain ke Kumamoto itu berkata, gandingan itu merancang untuk melaksanakan beberapa strategi namun gagal diterjemahkan dengan baik, terutamanya ketika Pearly belum 100 peratus cergas sejak pulih dari kecederaan belakang.
Justeru, dia menyifatkan pencapaian anak didiknya itu agak memuaskan.
Pada kejohanan yang bertaraf Jelajah Dunia Super 500 itu, Pearly-Thinaah berjaya melangkah ke pusingan suku akhir sebelum tewas 13-21, 18-21 kepada wakil tuan rumah, Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto.
“Bagi saya, mereka berdua menampilkan aksi cukup baik sepanjang kejohanan di Kumamoto ini. Kadang-kadang fikiran mereka ada sedikit terganggu kerana terlalu banyak perancangan.
“Bila fikir terlalu banyak nak buat, ia menyebabkan mereka berdua ragu-ragu dengan tindakan di atas gelanggang, jadi ia beri peluang kepada pemain lawan untuk menyerang,” katanya, ketika dihubungi.
Malah katanya, Pearly belum cergas sepenuhnya, “Kalau nak cakap pasal kecederaan Pearly, saya lihat dia belum pulih 100 peratus seperti biasa. Mungkin perlukan sedikit masa lagi untuk dia dapatkan semula rentak permainan dahulu.
“Selain itu, saya tidak fikir mereka berdua masih ada peluang untuk melayakkan diri ke Jelajah Dunia Akhir nanti kerana sudah banyak tarik diri daripada kejohanan sebelum ini,” katanya.