FOKUS di Sukan Asia Hangzhou, tidak terjejas selepas Pearly Tan disahkan tidak mengalami kecederaan serius.

Pengesahan itu dibuat jurulatih beregu wanita, Hoon Thien How yang berpuas hati dengan prestasi Pearly dan M Thinaah di Hong Kong.

“Saya gembira dengan mereka di kejohanan ini, walaupun kalah, apa yang kurang lagi kita akan perbaiki apabila pulang nanti dan kami cuba untuk memberi fokus kepada kejohanan seterusnya,” kata Thien How.

Pada final Terbuka Hong Kong, Ahad, Pearly-Thinaah beraksi cemerlang dalam set pertama menang 21-14, dan hampir mengesahkan kejuaraan sebelum tunduk 22-24 di set kedua ketika berdepan beregu Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti.

Namun gandingan negara itu hilang fokus di set penentuan apabila membenarkan lawan mendahului 18-6 sebelum tunduk 21-9.

Hoon Thien How (kiri) sahkan Pearly tidak alami kecederaan serius, kini fokus ke arah sasaran Sukan Asia Hangzhou.

Pada perlawanan itu juga, permukaan gelanggang yang licin menyebabkan Pearly tergelincir dan mendatangkan rasa sakit pada buku lali kaki kirinya.

“Di set kedua, ketika mata penting… sukar untuk diperkatakan. Bukan mereka tidak bermain dengan bagus, bukan mereka salah kerana tidak bermain dengan betul ataupun salah tetapi ketika deuce point tak menang. Jadi kita tak boleh cakap apa.

Kira berharap agar Pearly-Thinaah lebih bersemangat memburu kejuaraan di Sukan Asia Hangzhou.

“Pada permulaan set penentuan ada sedikit tekanan, mungkin disebabkan kalah pada set kedua dan kemudian mula timbul kacau. Apapun, kecederaan (Pearly) tidak serius. Apabila kita pulang nanti, kita akan fokus untuk Sukan Asia,” kata Thien How.

Untuk rekod, kekalahan itu menyaksikan Pearly-Thinaah gagal meraih kejuaraan pertama pada musim ini.

Ini adalah kali kedua Pearly-Thinaah muncul naib juara selepas Malaysia Masters, Mei lalu.