PUTERI badminton negara, Pearly Tan-M Thinaah terpaksa menarik diri di pusingan kedua kejohanan Clash of Clans Terbuka Artik di Finland akibat kecederaan dan Pearly menganggap keputusan itu cukup berat untuk dibuatnya.
Pearly terpaksa membuat keputusan sukar itu sebelum perlawanan menentang beregu Taiwan, Lee Chia Hsin-Teng Chun Hsun atas faktor kecederaan.
Difahamkan, Pearly mengalami kecederaan belakang dan disebabkan kecederaan berulang dialaminya, sehingga memaksa gandingan kesembilan dunia itu melupakan saingan di Vantaa, Finland.
“Membuat keputusan adalah sesuatu yang paling sukar terutama apabila ia berada di pertengahan antara apa yang kamu mahukan dan apa yang betul. Mungkin pada masa ini, ia tidak bermakna tetapi akan tiba masanya, ia akan bermakna.
“Ini adalah masa untuk saya pulihkan diri,” kata Pearly dalam satu hantaran di Instagram yang turut berterima kasih kepada rakan seperjuangannya, Thinaah.
“Terima kasih kerana masih meneruskan perjuangan bersama saya dan tidak pernah menyerah, betapa sukarnya keadaan dialami. Saya tidak boleh berada di sini tanpa kamu.
“Saya berjanji akan berada di tahap terbaik dan bangkit secepat mungkin untuk beraksi di gelanggang semula,” kata Pearly.
Pearly turut mengalami kecederaan hampir sama ketika mewakili kontinjen negara di Sukan Asia Hangzhou selain pernah mengalami kecederaan siku ketika Terbuka Singapura, Jun lalu.
Hantaran Pearly itu mendapat perhatian peminat, yang rata-rata memberikan kata-kata semangat untuk dia dan Thinaah bangkit pada masa hadapan.
Sepanjang tahun ini, Pearly-Thinaah muncul naib juara Malaysia Masters pada Mei dan Terbuka Hong Kong dua bulan lalu, yang menjadi pencapaian terbaik gandingan itu sepanjang 2023.