PEARLY Tan tidak akan menyertai Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2023 yang akan berlangsung di Dubai, minggu hadapan selepas disahkan tidak sihat.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerusi media sosial berkongsi perkembangan terkini pemain beregu negara itu, sekali gus mengesahkan Pearly dan pasangannya, M Thinaah menarik diri daripada kejohanan yang akan berlangsung pada 25 hingga 30 April.
Sementara itu, pengarah kejurulatihan beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, Pearly mula tidak sihat pada Selasa.
“Pada Isnin, dia jalani latihan dengan sangat baik, bagus dari segi mentaliti dan juga komitmen yang positif.
“Tapi pada hari berikutnya, dia ke gelanggang latihan awal pagi, dalam keadaan demam dan sukar bernafas… dia terkena selesema,” kata Rexy.
Pearly-Thinaah diletakkan selaku pilihan kelapan pada kejohanan terbabit dan dijadual berdepan gandingan Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai.
Begitupun, penarikan diri gandingan terbabit satu keputusan yang bijak kerana kudrat Pearly lebih diperlukan pada kempen Piala Sudirman dan Malaysia Masters yang akan berlangsung pada Mei depan, iaitu dua kejohanan yang menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.