BEREGU wanita harapan kebangsaan, Pearly Tan-M.Thinaah melunaskan misi balas dendam terhadap lawan dari Indonesia, Apriani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti setelah menggamatkan Axiata Arena dengan kemenangan straight set 21-18 21-17.

Pearly mengakui mereka bermain dengan baik menentang pasangan Indonesia itu serta menyifatkan permainan mereka secara agresif hari ini berjaya membuahkan hasil.

Bagaimanapun, dia sedar masih terdapat ruang yang perlu diperbaiki menjelang pertemuan menentang gandingan pertama dunia, Chen Qingchen-Jia Yi Fan.

“Pertama sekali, terima kasih kepada rakan saya dalam gelanggang, beri saya keyakinan dalam gelanggang. Kita bermain baik hari ini kerana juga kita kekal agresif.

“Tapi saya rasa sekali sekala bila saya terlampau gopoh untuk menghabiskan perlawanan, saya masih kena perbaiki,” jelas Pearly kepada media.

Sementara itu, Thinaah pula berkata dia tidak berada dalam apa- apa tekanan menjelang perlawanan menentang pilihan pertama dunia esok.

Tambahnya, rehat dan makan yang mengikut aturan adalah disiplin yang mereka patuhi sepanjang bergelar pemain kebangsaan.

“Kita tiada apa apa tekanan untuk diri kita, kita hanya mahu berikan terbaik dan kita hanya mahu nikmati permainan. Kita hanya makan dengan baik dan rehat dengan baik,” ujar Thinaah.

Mereka dijadualkan menentang gandingan pertama China esok bagi perebutan slot ke perlawanan akhir Perodua Malaysia Masters 2022.