BEREGU wanita negara, Pearly Tan-M.Thinaah mula menikmati persaingan bertaraf Olimpik apabila bangkit daripada kekalahan perlawanan pertama, dengan menjadikan gandingan nombor 6 dunia Jepun sebagai mangsa kebangkitan.

Kemenangan sulung diperoleh pada perlawanan kedua kumpulan A Sukan Olimpik Paris itu, membuka semula peluang mereka untuk melangkah ke suku akhir.

Pearly Tan-M Thinaah menampilkan aksi terbaik ketika mengatasi pasangan Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dalam perlawanan kedua, kumpulan A. | FOTO MSN

“Meskipun kami tewas semalam, kami bawa semua perkara positif ke perlawanan ini dan kami beraksi tanpa tekanan, banyak membantu,” kata Thinaah kepda Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sejurus selepas tamat perlawanan di Porte de La Chapelle Arena.

Pearly-Thinaah yang memiliki kelebihan 3-2 menentang Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun, bagaimanapun tunduk 18-21 pada set pertama sebelum bangkit dengan aksi lebih meyakinkan, dan memenangi perlawanan 21-15, 21-16.

Kini kedua-dua psangan terbabit masing-masing sudah memenangi satu perlawanan, selepas gandingan Jepun mengatasi juara bertahan Olimpik Tokyo, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia, straight set 24-22, 21-15 semalam.

Wakana Nagahara (kanan) tertunduk selepas gagal mengembalikan hantaran pasangan negara, Pearly Tan-M Thinaah. | FOTO MSN

Dalam pada itu, Pearly menyuarakan rasa gembira dan teruja namun mahu kekal merendah diri menjelang perlawanan terakhir kumpulan menentang Apriyani-Siti Fadia pada Selasa ini.

Katanya, persembahan bertenaga yang berjaya dizahirkan itu, atas persefahaman dan saling menyokong.

“Perlawanan pertama, kami teruja nak cepat mematikan bola, mahu dapatkan mata mudah.

“Untuk perlawanan ini, kami saling mengingatkan untuk lebih bersabar dan enjoy bermain rali dan ia menjadi,” kata Pearly.