PASANGAN beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah berharap dapat menghadiahkan kejuaraan di Jelajah Dunia Terbuka Korea, sempena hari kemerdekaan ke-67 negara, esok.

Pasangan kesembilan dunia itu mengakui, kemenangan ke atas pasangan nombor 2 dunia dari Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee di separuh akhir sebentar tadi, memberi keyakinan kepada mereka.

“Pada dua pertemuan terakhir, kami kalah kepada mereka jadi esok, saya harap dapat memberikan hadiah terbaik untuk kemerdekaan negara,” kata Pearly kepada SPO TV.

Sementara itu, Thinaah berkata, persiapan rapi sebelum perlawanan membawa kepada kemenangan buat mereka.

“Sebenarnya kami tahu, lawan kami di separuh akhir ini adalah amat sukar dan tidak mudah untuk kami. Jadi kami persiapkan mental dan fizikal dan saling menyokong atara satu sama lain,” ujar Thinaah.

Pada perlawanan separuh akhir di Stadium Tertutup Mokpo itu, Pearly-Thinaah menewaskan pilihan utama terbabit menerusi kemenangan straight set 21-18, 21-13 dalam tempoh 43 minit.

Pearly Tan-M Thinaah bangkit dengan meyakinkan di Terbuka Korea 2024.

Kemenangan manis itu menyaksikan mereka mengatasi kekecewaan selepas terkandas pada aksi suku akhir Terbuka Jepun, minggu lalu.

Kemenangan ke atas Ha Na-So Hee itu, membolehkan mereka menyamakan rekod pertemuan 2-2.

Di final esok, mereka akan berdepan satu lagi gandingan tuan rumah, Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong dan berdasarkan rekod pertemuan, pasangan negara ketinggalan 1-2 berbanding lawan yang menghuni ranking ke-20 dunia itu.

Pasangan pilihan keenam itu mara ke akhir selepas menewaskan rakan senegara, Lee Yu Lim-Shin Seung Chan, 21-14, 21-11.

Terdahulu, beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut mara ke pentas akhir selepas menewaskan beregu China, Cheng Xing-Zhang Chi menerusi kemenangan straight set 22-20, 21-19 dalam tempoh 50 minit.