PEARLY Tan dan M.Thinaah menyifatkan, perlawanan ketiga beregu wanita di peringkat kumpulan A, menjadi aksi paling getir buat mereka yang kali pertama beraksi di Sukan Olimpik, biarpun keputusan yang dihasilkan kelihatan sebaliknya.
Kedua-dua pemain harapan negara itu, bersetuju tahap kesukaran untuk mengekalkan momentum dari perlawanan pertama dan kedua, amat tinggi.
“Saya agak gementar kerana kami berada dalam situasi wajib menang… saya lebih tertekan berbanding dua perlawanan awal,” kata Thinaah kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF), sambil mengakui rasa gementar itu menyebabkan mereka kehilangan mata mudah di awal perlawanan.
Pada perlawanan itu, Pearly-Thinaah berjaya mengatasi Apriyani-Siti Fadia Silva 21-18, 21-9, dalam tempoh 43 minit.
Sementara Pearly pula mengakui, mereka bukan hanya menentang beregu Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti pada perlawanan itu.
“Hari ini kami bukan hanya berdepan lawan tetapi diri kami sendiri. Agak sukar kerana ia mencabar mental kami, kami wajib menang, perlu lebih konsisten dan tenang… semuanya serentak,” kata Pearly.
Pearly mengakui, mereka berdua tidak stabil di gelanggang kerana rasa gementar namun mujur perasaan itu tidak menyerang mereka berdua serentak.
Dalam pada itu, Apriyani mengakui situasi didepani dia dan Siti Fadia Silva amat berbeza pada Sukan Olimpik Paris jika dibandingkan dengan kejuaraan yang diperoleh di Tokyo.
“Ya berbeza… perjalanan kami berbeza, malah kemenangan pingat emas di Tokyo juga saya bersama pasangan yang berbeza.
“Kami sedih hari ini tetapi kami mahu terus bermain, kami perlu segera melupakannya.
“Banyak pelajara untuk saya dan Fadia ke depan,” kata Apriyani yang memenangi pingat emas beregu wanita Olimpik Tokyo bersama Greysia Polii.