KETIKA mengharungi prestasi tidak menentu, beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah menampilkan persembahan terbaik apabila mencapai kejayaan besar menewaskan gandingan nombor satu dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan, pada pusingan kedua Seluruh England, lewat malam tadi.
Beraksi di Utilita Arena Birmingham, Pearly-Thinaah yang menduduki ranking ke-15 dunia mencatat kemenangan straight set 22-20, 21-16 ke atas Qing Chen-Yi Fan sekali gus mengesahkan tiket ke suku akhir.
Ia menjadi kemenangan tunggal mereka ke atas pasangan China terbabit, selepas tewas semua lima pertemuan sebelum ini, sekali gus menjadikan ulang tahun kelahiran ke-24 Pearly, semalam, lebih bermakna.
Meskipun gembira, Pearly tidak mahu terbuai malah menganggap kemenangan dicapai mereka dibantu faktor kecederaan yang dialami Yi Fan pada perlawanan itu.
“Kecederaan dialami Yi Fan sememangnya membantu kami memperoleh kemenangan,” kata Pearly kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Bagi Thinaah pula, fokus kepada kemampuan diri sendiri menjadi antara faktor mereka berjaya.
“Kami mengingatkan diri untuk fokus dan tidak terlalu memikirkan tentang kecederaan lawan. Ini semua mengenai melaksanakan strategi kami dengan baik dan mengurangkan kesilapan kami,” katanya.
Justeru, Pearly-Thinaah akan bertemu pasangan Jepun, Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto di suku akhir bagi perebutan tiket ke separuh akhir, esok.
Mengikut rekod, gandingan wanita utama negara itu, tewas kepada beregu ke-11 dunia dari Jepun itu pada pertemuan terakhir di suku akhir Masters Kumamoto di Jepun pada November tahun lalu.
Dalam satu lagi aksi, beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut ke suku akhir selepas menewaskan pasangan Taiwan, Chang Ko Chi-Po Li Wei 21-18, 24-22 pada aksi pusingan kedua.
Mereka akan bertemu juara edisi 2022 dari Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana bagi perebutan tempat ke separuh akhir.
Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang tersingkir di pusingan kedua.
Soon Huat-Shevon tunduk kepada pasangan China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping 12-21, 5-21.