PEARLY Tan tampil di Terbuka Malaysia 2024 dengan lebih yakin selepas mengesahkan berada pada tahap kecergasan yang baik, untuk memulakan musim baharu.

Pernah ditimpa kecederaan demi kecederaan termasuk pada bahagian belakang, Pearly yang bergandingan bersama M.Thinaah mengharapkan untuk bebas dari kecederaan musim ini yang amat penting dalam misi memburu kelayakan Olimpik Paris.

Begitupun, gandingan terbabit enggan meletakkan sasaran terlalu tinggi, berikutan cabaran saingan bertaraf Super 1,000 itu, membariskan gandingan terbaik dunia.

Pearly-Thinaah beraksi baik di Masters Malaysia tahun lalu.

“Kami gembira bermain di gelanggang sendiri dan kami cuma berharap dapat berikan aksi yang terbaik dan saling menyokong antara satu sama lain. 

“Setakat ini saya juga rasa kondisi tubuh saya semakin baik dan membuatkan saya lebih yakin. Tetapi sudah tentu saya memerlukan lebih banyak senaman atau latihan untuk kekalkan kecergasan badan saya supaya boleh bermain dengan lebih bagus. 

“Cuma saya berharap bebas dari sebarang kecederaan dan boleh fokus dan mahu ‘enjoy’ dalam perlawanan”, kata Pearly, ditemui selepas menguji gelanggang kejohanan di Axiata Arena. 

Gandingannya, Thinaah juga senada dengan kenyataan Pearly untuk mengelakkan diri daripada ditimpa kecederaan yang serius sejurus tidak meletakkan sasaran yang tinggi terhadap setiap pertarungan yang dihadapi. 

Pearly sudah beberapa kali mengalami kecederaan.

“Saya mahu fokus perlawanan demi perlawanan, satu demi satu dan tidak ingin fokus terlalu jauh,” ujarnya. 

Pasangan beregu wanita negara akan bertemu dengan gandingan dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning dan jika mereka layak ke pusingan seterusnya, mereka akan berjumpa sama ada dengan Li Yi Jing-Luo Xu Min dari China juga atau Debora Jille-Cheryl Seine, pasangan dari Belanda. 

Untuk rekod, Pearly-Thinaah sebelum ini tumpas awal dalam kejohanan badminton Terbuka Malaysia 2023 iaitu tersingkir pada pusingan pertama setelah ditundukkan oleh pemenang Terbuka Perancis 2022, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva.

Kempen Kejohanan Terbuka Malaysia akan bermula pada esok, 9 hingga 14 Januari 2024 di Axiata Arena, Bukit Jalil.