MASTERS Malaysia menjadi peluang terbaik buat beregu wanita Pearly Tan-M Thinaah, meraih sekurang-kurangnya satu gelaran sebelum melangkah ke Paris.
Mahu mendapatkan momentum dan mood positif sebagai tonik di Sukan Olimpik Paris, mereka perlu mempamerkan prestasi yang konsisten sepanjang kejohanan ini.
“Setiap pemain mahukan kemenangan dan meraih gelaran, kami juga sama.
“Namun kami mahu fokus kepada satu persatu perlawanan dahulu,” kata Pearly, selepas mereka memenangi perlawanan ke atas gandingan India, Simran Singhi-Ritika Thaker, 21-17, 21-11.
Meskipun menang, gandingan nombor 13 dunia itu mengakui masih perlu memperbaiki setiap kelemahan yang ada dalam permainan.
“Sebenarnya kami sangat teruja untuk beraksi di Masters Malaysia, selepas sekian lama tidak menyertai kejohanan… apa lagi di laman sendiri.
“Pada awalnya, kami bermula perlahan tetapi sedikit demi sedikit membaiki momentum di set kedua. Kami mencuba beberapa perkara baharu di sini dan harapnya terus membaiki rentak permainan,” kata Thinaah.
Selepas Malaysia Masters, Pearly-Thinaah dijadual mengambil bahagian di Terbuka Singapura dan Indonesia.
Di suku akhir esok, mereka akan berdepan pasangan Australia, Setyana Mapasa-Angela Yu yang mengatasi gandingan muda negara Go Pei Kee-Low Yeen Yuan, 21-8, 21-11.
Turut tersingkir, perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao apabila tewas kepada pilihan ketiga dari China, Li Shi Feng, 15-21, 16-21.
Manakala perseorangan wanita profesional, Goh Jin Wei tidak mampu menandingi pemain Thailand, Busanan Ongbamrungphan, apabila tewas 10-21, 14-21.