TIADA lagi status pilihan sebaik beregu wanita Sukan Olimpik Paris, kini memasuki pusingan kalah mati.

M Thinaah berkata, tiada mana-mana pasangan yang boleh meletakkan diri mereka sebagai pilihan kerana sebaik memasuki suku akhir, peluang setiap pasangan menjadi lebih seimbang.

Meskipun jadual perlawanan suku akhir beregu wanita belum dikeluarkan, namun undian yang telah berlangsung awal pagi tadi membolehkan Thinaah yang berpasangan bersama Pearly Tan, melakukan persiapan yang sepatutnya.

Pearly Tan dan M Thinaah mempamerkan kesungguhan pada aksi Sukan Olimpik Paris 2024. | FOTO MOM

“Menjelang suku akhir nanti… kami hanya mahu menjalani proses pemulihan yang pantas, berehat secukupnya, berbincang mengenai strategi bersama jurulatih sebelum ke gelanggang dengan  100 peratus usaha dan semangat,” kata Thinaah.

Selepas undian dilakukan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), gandingan negara itu dijadual berdepan pasangan ranking ke-10 dunia dari Korea Selatan, Kim So Yeong-Kong Hee Yong yang muncul juara kumpulan C.

So Yeong-Hee Yong mempamerkan aksi memberangsangkan pada Temasya paris kali ini, apabila memenangi semua tiga perlawanan termasuk mengatasi beregu keempat dunia Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida.

Berdasarkan rekod pertemuan, pemain Korea Selatan itu mengungguli satu-satunya pertembungan antara kedua-dua pasangan.

Pearly-Thinaah berjaya memberi tentangan senit kepada beregu nombor 1 dunia, Chen Qingchen-Jia Yifan.| FOTO MSN

Enggan mengulas lanjut mengenai perlawanan suku akhir, Thinaah berkata: “Berakhirnya saingan kumpulan, tiada lagi status pilihan dan kami akan menghadapinya seperti yang dijadualkan.”

So Yeong-Hee Yong pernah bertemu Pearly-Thinaah di Jelajah Dunia Akhir 2021 dan memenanginya 21-14,2 1-14.

Biarpun pasangan Korea Selatan itu cemerlang dengan tiga kemenangan mutlak di peringkat kumpulan, prestasi dipamer Pearly-Thinaah tidak kalah hebatnya.

Wakana Nagahara (kanan) tertunduk selepas gagal mengembalikan hantaran pasangan negara, Pearly Tan-M Thinaah. | FOTO MSN

Berada dalam kumpulan “maut” bersama pasangan nombor 1 dunia, Chen Qingchen-Jia Yifan (China); nombor 6 dunia, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara (Jepun) dan nombor 8 dunia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti (Indonesia), duo wanita negara itu sudah mempamerkan disiplin dan tahap persefahaman tinggi untuk meraih dua kemenangan.

Justeru, keberadaan Pearly-Thinaah di suku akhir juga pastinya menjadi kegerunan buat mana-mana lawan.

Status dua pasangan negara yang kira-kira dua tahun kemarau gelaran itu juga pasti membuatkan lawan buntu memikirkan kekuatan yang dimiliki Pearly-Thinaah yang kali terakhir memenangi kejohanan, di Terbuka Perancis, Oktober 2022.