BERDEPAN pasangan Jepun tidak pernah menerbitkan rasa selesa buat mana-mana pemain dalam acara beregu wanita dan begitulah perasaan Pearly Tan-M Thinaah apabila melihat undian Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Nongbo, China, 9 hingga 14 April depan.
Gandingan negara itu menganggap laluan mereka getir seawal pusingan pertama lagi, meskipun pasangan di ranking ke-13 dunia itu memiliki kelebihan ke atas Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara selepas menang tiga daripada empat pertemuan.
Kali terakhir, mereka menundukkan lawan itu, pada pusingan ketiga Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, tahun lalu.
Pearly berkata, dia dan Thinaah akan melakukan persiapan terbaik bagi mencatat kemenangan dalam aksi pertama.
“Buat masa ini, kami mahu fokus kepada perlawanan pertama terlebih dahulu.
“Kami akan bincang dengan jurulatih dan pakar analisis untuk lihat strategi apa yang kami boleh gunakan apabila turun menentang mereka (Matsumoto-Nagahara).
“Pada masa sama, kami juga akan fokus terhadap persiapan diri sendiri.
“Kami perlu perkemaskan lagi kombinasi kami sebagai gandingan dan komunikasi kami dalam gelanggang.
“Kami akan buat yang terbaik,” kata Pearly yang semakin mendapat semula rentak permainannya selepas dihimpit masalah kecederaan.
Sekiranya melangkah ke suku akhir, laluan mereka tetap berliku apabila dijangka berdepan pilihan kedua yang juga juara Seluruh England dari Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee.