BEREGU wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah sah tidak akan disenaraikan bagi menghadapi saingan Piala Uber di Chengdu, China, yang akan berlangsung 28 April hingga 5 Mei depan.

Gandingan tersebut sah tidak menyertai acara berpasukan selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bersetuju dengan cadangan tidak menyenaraikan beregu wanita itu.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, jika dibuat perkiraan peluang dengan kehadiran beregu terbabit juga, tidak banyak membantu pasukan.

Secara realistik, kehadiran M Thinaah-Pearly Tan dalam skuad Piala Uber negara tidak banyak membantu nasib pasukan di Chengdu, China nanti.

“Berhubung Pearly-Thinaah, rasanya mereka tidak akan bermain di Piala Uber nanti kerana kita perlu realistik.

“Senarai nama masih belum diputuskan, namun boleh cakap 90 peratus mereka berdua tidak berada dalam skuad Piala Uber.

“Setakat ini, saya boleh cakap secara prinsipnya pihak pengurusan bersetuju dengan keputusan untuk tidak menyenaraikan Pearly-Thinaah,” katanya, ditemui selepas sesi latihan skuad kebangsaan di ABM di sini, pada Selasa.

Rexy Mainaky, Pengarah Kejurulatihan ABM mahu Perly-Thinaah fokus kepada persiapan ke Sukan Olimpik Paris.

Sebelum ini, Rexy memberi bayangan Pearly-Thinaah tidak akan disenaraikan ke Piala Uber bagi memberikan mereka melakukan persiapan menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024, Julai depan.

Jelas Rexy, ketiadaan Pearly-Thinaah menyaksikan skuad kali ini mempertaruhkan seorang pemain muda untuk digandingkan dengan Teoh Mei Xing menjadi pemain yang paling senior.

“Setakat ini, Mei Xing paling senior manakala yang lain adalah pemain muda. Kita juga mahu menilai pemain-pemain yang beraksi dua acara, nak tengok di mana kelebihan mereka sama ada beregu (wanita) atau campuran,” katanya.

Skuad wanita negara kali ini diundi dalam Kumpulan B bersama Thailand, Taiwan dan Australia.