STATUS bukan pilihan pada pemain beregu wanita negara, Pearly Tan-M.Thinaah di Sukan Olimpik Paris nanti, bakal menjadikan gandingan negara itu lebih bersedia, kerana tiada pilihan melainkan berada dalam kumpulan “sukar” iaitu bersama pilihan utama kejohanan.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, pada temasya yang akan bermula 26 Julai hingga 11 Ogos itu, Pearly-Thinaah perlu yakin menghadapi setiap pesaing dalam kumpulan dan jika berjaya, mereka beroleh keyakinan tinggi untuk menghadapi pesaing di peringkat kalah mati.

Malah, beliau yang cukup berpengalaman sebagai jurulatih selain pernah memenangi pingat emas Sukan Olimpik Atlanta 1996 berkata, peluang lebih terbuka buat mana-mana pemain atau pasangan merangkul pingat di Sukan Olimpik kali ini berbanding ketika sukan badminton mula dipertandingkan pada edisi 1992 di Barcelona.

“Sejak London 2012 dan seterusnya, tekanan dihadapi pemain tidak sama seperti di Olimpik 1992, dahulu sudah tahu siapa pemain kuat yang akan menjadi juara.

“Namun kali ini semuanya agak sama bukan sahaja China, Jepun, Korea Selatan mahupun Malaysia, malah pemain perseorangan lelaki dari Guatemala, Kevin Gordon mampu mara ke separuh akhir di Tokyo 2020, jadi kesemuanya bergantung kepada bagaimana pemain itu menangani tekanan masing-masing,” katanya.

Rexy memenangi pingat emas beregu lelaki bersama Ricky Subagja pada Atlanta 1996 berkata, pelbagai situasi sudah disimulasikan, termasuk cara mencuri mata dan arah pukulan servis dalam sesi latihan bagi membantu Pearly-Thinaah berdepan pasangan handal lain di Paris.

Petang ini, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) akan melakukan undian pemain yang telah layak ke Sukan Olimpik Paris 2024, yang berlangsung di Pejabat BWF di Kuala Lumpur.