HASRAT memulakan kempen mengumpul mata ke Olimpik Paris dengan gelaran, tidak kesampaian, apabila puteri beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah terlepas kejuaraan pertama tahun ini, selepas tewas pada perlawanan akhir Malaysia Masters, Ahad.
Kekalahan 20-22, 21-8, 17-21 kepada gandingan Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee itu, bukan sahaja mengecewakan peminat malah diri mereka sendiri.
Begitupun, melihatkan aksi dipamer Pearly dan Thinaah, mereka sudah melakukan segala-galanya, melayangkan badan, menggelongsor dan rebah di atas gelanggang, sehingga beberapa kali mendapatkan rawatan termasuk Thinaah yang hampir muntah di tepi gelanggang, mereka tewas dengan bermaruah.
Bukan alasan kita kalah kerana Thinaah rasa nak muntah itu sudah di hujung perlawanan.
“Tapi pada mata ke-11 (set ketiga), kami hilang fokus… kami tidak cukup cergas dan mula melakukan kesilapan mudah kerana sudah kepenatan, jadi saya harap kekurangan ini dapat kami perbaiki untuk kejohanan seterusnya,” kata Pearly, ketika bertemu wartawan pada sidang media selepas menaiki podium menerima hadiah kemenangan.
Bagaimanapun, Thinaah tidak menyertai sidang media itu, kerana kepenatan dan masih berasa mahu muntah hingga segera ke bilik rawatan.
Mengulas lanjut mengenai perlawanan akhir itu, Pearly mengakui amat merugikan kerana dia dan Thinaah gagal menutup set pertama dengan kemenangan, “Tapi bila mula set kedua, kami putuskan untuk tidak memikirkan lagi perkara yang lepas dan mahu berlawan hingga ke mata terakhir.”
Begitupun, pemain yang berada di ranking ke-11 dunia itu mengakui, mempelajari sesuatu dariapda Malaysia Masters.
“Sebelum ini, hanya beberapa perlawanan kami bermain rali panjang, tapi kali ini kami betul-betul kuat dari segi mental, bertahan sepanjang minggu, dan apa berlaku hari ini adalah perkara normal untuk masa depan kami.
“Saya rasa tahun ini, banyak naik turun tapi kejohanan ini menjadi permulaan yang baik buat kami meskipun saya tidak berpuas hati dengan dengan keputusan akhirnya kerana saya boleh lakukan dengan lebih baik,” ujar Pearly lagi.
Gandingan itu akan menyertai kejohanan bertaraf Super500 Terbuka Singapura, yang akan berlangsung pada 6 hingga 11 Jun depan.
Kali terakhir pemain negara menjuarai Malaysia Masters, pada 2017 menerusi gandingan beregu campuran Tan kian Meng-Lai Pei Jeng, manakala beregu wanita terakhir menjuarai gelaran di kejohanan ini adalah Wong Pei Tty-Chin Eei Hui pada edisi 2012.
Malaysia Masters menjadi kejohanan bertaraf Jelajah Dunia pertama menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.