MENGULANGI kesilapan sama sehingga tewas dan membuat diri sendiri berasa kerugian, beregu wanita negara Pearly Tan dan M.Thinaah gagal membendung air mata kecewa ketika mereka tersingkir di suku akhir Kejohanan Dunia yang berlangsung di Copenhagen, Denmark semalam.
Kekalahan 21-17, 17-21, 19-21 kepada gandingan China, Zhang Shu Xian-Zheng Yu, ternyata bukan yang diharapkan Pearly dan Thinaah yang pada suatu ketika menyedari mereka berpeluang memenangi perlawanan.
“Saya bagai patah hati dan sangat sedih kerana kami melakukan banyak kesilapan yang sama berulang. Padahal kami sudah saling mengingatkan untuk kekal tenang dan fokus, namun sekali lagi kami terburu-buru ketika mendahului hingga tewas lagi pada perlawanan yang kami rasa tak patut tewas,” kata Pearly, kepada wartawan Astro Arena.
Ketika Pearly menjawab pertanyaan wartawan Astro Arena Ahmed Shahrazad Sani, Thinaah hanya mampu menekap muka dengan tangan, menangis tanpa henti di ruang mix zone.
Gandingan negara yang menghuni tangga ke-11 dunia itu mempamerkan prestasi mantap pada edisi Kejohanan Dunia kali ini, apabila menyingkir psasangan nombor empat dunia dari Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara di pusingan ketiga.
Sementara itu, pengarah kejutulatihan beregu, Rexy Mainaky berkata, anak didiknya itu bermain baik memenangi set pertama dan mendahului set kedua, sebelum tiba-tiba hilang kepercayaan diri.
“Dari awal hingga ke set kedua, ketika mendahului 11-5, mereka bermain baik tiba-tiba sahaja mengulangi kesilapan sama seperti di Terbuka Australia.
“Hampir menang tapi meletak tekanan ke atas diri sendiri hingga hilang kepercayaan bahawa mereka boleh memenangi perlawanan,” kata Rexy.