DUA pelumba trek wanita negara, Anis Amira Rosidi dan Nurul Aliana Syafika Azizan, berpeluang beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 mengiringi Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.
Namun, impian itu hanya akan menjadi realiti sekiranya ada pasukan pecut wanita dari negara lain, menarik diri.
Ini berikutan trio pecut negara yang terdiri daripada tiga pelumba wanita ini, berada pada kedudukan pertama senarai menunggu bagi acara berkenaan.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan) Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, pasukan pecut wanita negara berpeluang beraksi di temasya sukan terbesar dunia itu, sekiranya terdapat mana-mana negara menarik diri.
“Kita mendengar John Beasley (Ketua Jurulatih Berbasikal Negara) memaklumkan skuad pecut wanita menduduki ranking kesembilan Olimpik dan ke-11 dunia dan menjadi pasukan simpanan pertama untuk ke Olimpik Paris,” katanya selepas Majlis Penutup Bengkel Projek Los Angeles (LA) 2028, di Putrajaya pada Jumaat.
Ujarnya, Beasley juga bercadang memasukkan pasukan pecut wanita ini, dimasukkan ke dalam program Fast Track Road to Gold (RTG) memandangkan mereka menduduki tempat ke-11 dunia.
Sebelum ini, Izzah sudah layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 bagi acara keirin dan pecut individu.
Dalam pada itu, Jefri mengesahkan bahawa pihaknya sedang menunggu mesyuarat jawatankuasa RTG untuk meluluskan proposal memasukkan Izzah ke dalam program Fast Track.
Ditanya mengenai Projek Khas LA 2028, beliau berkata, ia adalah projek di bawah Fast Track yang akan memberi tumpuan lebih khusus untuk memperbaiki atlet menjelang temasya berkenaan.
“Setiap atlet dalam projek khas untuk fast track, mempunyai komponen yang jurulatih utarakan, dan kita beri tumpuan untuk memperbaiki kelemahan itu.
“Sebagai contoh Izzah kita nak tambah baik pembinaan otot dan kekuatan, itu projek khusus, menjelang 2028 dan dengan mengatasi kelemahan itu boleh menyamai atlet bertaraf dunia,” katanya.
Terdahulu, Beasley; Pengarah Teknikal (Terjun) Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Bryan Nickson Lomas dan Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Major (b) S Maniam hadir ke bengkel berkenaan untuk membentangkan program yang disediakan untuk atlet mereka.
Setakat ini enam atlet sudah disenaraikan dalam Program Fast Track iaitu dua penerjun lelaki, Bertrand Rhodict Lises dan Enrique Maccartney Harold serta empat pemain skuasy negara – Ng Eain Yow, S Sivasangari, Aifa Azman dan Aira Azman.