PAKAR pecut, Izzat Hilmi Abdul Halim mempamerkan prestasi luar biasa di Tour of Thailand (ToT), apabila tiga kali menaiki podium sekali gus merangkul jersi hijau (Raja Pecut).
Dia membuktikan perpindahan ke Malaysia Pro Cycling (MPC) satu keputusan tepat selepas pasukan berstatus benua itu turut menaiki podium pada perlumbaan berstatus 2.1, menerusi Zulfikri Zulkifli, pada peringkat kelima.
ToT yang berakhir semalam, menjadi jelajah UCI pertama MPC sejak pasukan itu ditubuhkan Ogos lalu, menggantikan Sapura Cycling Team (TSC).
Prinsipal pasukan MPC, Sayuti Zahit, yang memilih untuk merehatkan pelumbanya lebih berpengalaman di ToT berkata, Izzat semakin menunjukkan kematangan.
“Dia ke sini (Thailand) dengan dahagakan kejayaan untuk membuktikan dirinya dan menunjukkan kepada kami bahawa memilihnya menyertai pasukan adalah keputusan yang tepat,” kata Sayuti.
Tambah bekas pelumba negara itu, Izzat Hilmie, 29, berjaya mempamerkan aksi konsisten dan merangkul jersi hijau yang belum mereka raih walaupun ketika di zaman TSC.
“Kami juga tidak pernah meraih penamat podium sebanyak ini semasa zaman Sapura, kerana pada masa itu kami lebih fokus kepada juara keseluruhan dan Asia.
“Izzat menunjukkan dia berada di laluan yang tepat menjelang Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun ini,” kata Sayuti.
Tambahnya, mereka masih mempunyai beberapa siri perlumbaan sebelum beraksi di LTdL sekali gus membuka ruang buat Izzat Hilmi untuk terus mempamerkan peningkatan.
Izzat Hilmi sebelum ini bersama TSC dari 2017 hingga 2019 sebelum dia dilepaskan akibat prestasi kurang memberangsangkan.
Bagaimanapun, dia meneruskan latihan sendiri sehingga mampu beraksi di LTdL edisi 2020, 2022 dan 2023 bersama pasukan kebangsaan.
Dia menunjukkan prestasi yang mengagumkan di LTdL tahun lalu, menduduki tempat keempat pada peringkat pembukaan dan kelima dalam peringkat kelapan perlumbaan bertaraf ProSeries itu sehingga mendorong MPC mendapatkannya tahun ini.