MALANG menimpa nasib pemain beregu campuran negara, Lai Pei Jing apabila menjadi mangsa sindiket penipuan oleh ‘scammer‘ kejam yang telah melarikan hampir kesemua wang simpanannya.

Perkara ini diluahkan sendiri menerusi sosial media rasmi Instagram pemain profesional berusia 31 tahun itu, dan berharap agar semua pihak dapat berikan kerjasama kepadanya untuk bertenang dahulu.

Lebih terkilan, Pei Jing mendedahkan bahawa wang yang hilang adalah hasil daripada titik peluhnya sendiri setelah berdekad mengumpul wang dan akhirnya ia lesap begitu sahaja.

“Sila beri ruang peribadi kepada keluarga saya dan saya sendiri untuk menangani emosi kami. Tolong beri kami masa untuk menghadam segalanya, terutama ibu saya.

“Saya telah ditipu hampir semua simpanan saya oleh sindiket penipuan. Sejujurnya, ini adalah satu tamparan yang sangat hebat kepada saya. Simpanan yang diperoleh dengan susah payah dan kerja keras selama berdekad-dekad.

“Saya memikirkannya hampir setiap saat, dan setiap kali fikiran saya kosong, saya secara tidak langsung akan mengenang keseluruhan penipuan dan akhirnya menyalahkan diri sendiri kerana kebodohan dan kebaikan saya.

“Memerlukan keberanian yang besar untuk bercakap tentang ditipu kerana siapa yang mahu memberitahu orang lain bahawa saya telah ditipu dengan bodohnya, bukan? Beberapa hari yang lepas, saya mengawal emosi saya dan terus berurusan dengan pihak polis,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Pei Jing turut menyatakan rasa kesal dan berharap agar kejadian yang berlaku pada dirinya itu tidak berulang dan menimpa individu lain. Dia mengambil kesempatan untuk menyuruh orang ramai agar sentiasa berwaspada.

“Saya berharap dapat mencegah lebih ramai mangsa dan juga memaksa diri saya untuk menerima hakikat bahawa saya telah ditipu. Selepas itu, saya akan mempertimbangkan bagaimana untuk berkongsi butiran penipuan ini dengan semua orang.

“Saya berharap perkongsian saya dapat membantu orang lain lebih berwaspada dan mencegah lebih ramai mangsa daripada ditipu,” tambahnya.