PELANCARAN TASKA Team MAS di Institut Sukan Negara (ISN) semalam, menjadi satu lagi pencapaian Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam membuktikan sokongan kepada atlet, jurulatih dan warga sukan.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, kejayaan merealisasikan TASKA Team MAS itu menjadi kebanggaan bagi dirinya.
“Menjadi satu kebanggaan buat saya secara peribadi. Ini kerana inisiatif ini bukan sekadar kemudahan penjagaan kanak-kanak tetapi juga mencerminkan komitmen KBS,” katanya, dipetik dari laman Facebook peribadinya.

Hannah Yeoh ketika melawat TASKA Team MAS selepas melancarkannya di Institut Sukan Negara (ISN)
Ujar beliau, KBS sentiasa memahami cabaran atlet, jurulatih dan warga sukan di KL Sports City dalam mengimbangi kerjaya dan keluarga.
Malah, kewujudan TASKA Team MAS itu juga disifatkan sebagai memperkasa kontrak atlet, termasuk memansuhkan klausa diskriminasi terhadap atlet hamil dan menyediakan cuti tahunan serta kecemasan paterniti.
TASKA Team MAS mampu memuatkan 70 kanak-kanak, menyediakan modul pembelajaran holistik bagi pembangunan sahsiah, emosi dan fizikal.
Ia dikendalikan staf terlatih di bawah ISN, dan beroperasi dari jam 7 pagi hingga 7 malam bagi memudahkan ibu bapa berkomitmen pada kerjaya sukan.
“Saya yakin, TASKA Team MAS akan menjadsi model rujukan dalam sektor sukan sekali gus memperkukuh ekosistem sokongan kepada insan-insan yang membanggakan negara.
“Ini bukti komitmen kami membina modal insan yang seimbang, demi masa depan sukan Malaysia yang lebih inklusif.”