PELATIH Program Pembangunan Ragbi Negara (NRDP) mendapat pengajaran berguna apabila bekas juara dunia Ragbi dua kali, Sonny Bill Williams hadir ke Klinik Ragbi yang berlangsung di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN) pada Isnin.

Klinik Ragbi ini disertai 60 orang peserta yang terdiri daripada pelatih-pelatih Program Pembangunan Ragbi Negara (NRDP) dari seluruh negara yang mendapat tunjuk ajar dan tips daripada bekas pemain antarabangsa New Zealand All Blacks.

Turut hadir dalam program ini adalah  Timbalan Menteri Belia dan Sukan,  Adam Adli ; Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Amir Amri Mohamad  serta Safrushahar Yusoff dari Pengarah Bahagian Bakat dan Pembangunan Wanita, MSN.

Para peserta kelihatan teruja dapat bertemu idola mereka dan Sonny sendiri dilihat sangat gembira memberikan tunjuk ajar serta ilmu yang boleh digunapakai oleh para pelatih NRDP bagi memastikan mereka menjadi atlet ragbi yang cemerlang.

NRDP kini giat mencari bakat-bakat baharu dalam sukan ragbi untuk diketengahkan dengan skuad wanita NRDP B-18 tahun berjaya merangkul tempat ketiga dalam Kejohanan World School Festivals di Chonburi, Thailand tahun lalu.