UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus menjadi pilihan pelari pecut negara menjalani latihan sepanjang Ramadan, berikutan pusat pendidikan tinggi itu menawarkan kemudahan lengkap.
Ketika ini, tujuh atlet pecut di bawah kendalian jurulatih Mohd Poad Md Kassim berada di UPSI sehingga 7 April, menjalani latihan dan meningkatkan daya pecutan mereka.
Poad berkata, UPSI dipilih kerana mempunyai kemudahan lengkap seperti kolam renang, trek, dewan tertutup, gimnasium dan perkhidmatan sokongan sains sukan.
“Sepanjang di UPSI kami mendapat sokongan dari Dr Thariq (Penyelaras Program Malaysia Juara dari Falkulti Sains Sukan dan kejurulatihan Dr Thariq Azizuddin Khan) malah sebelum ke Sukan Asia pun saya meminta bantuan dari Dr Thariq.
“Kemudahan di sana juga lengkap. Selain fasiliti yang ditawarkan lampu di trek juga memudahkan altet menjalani sesi latihan di bulan puasa,” katanya.
Tujuh pelari pecut yang menjalani latihan di sana adalah Khairul Hafiz Jantan, Muhammad Haiqal Hanafi, Muhammad Arsyad Md Saat, Johnathan Nyepa, Zaidatul Husniah Zulkifli, Azreen Nabila Alisa dan Nur Afrina Batrisyia.
Menurut Poad, sepanjang Ramadan, sesi latihan dibahagi kepada dua iaitu sebelum sahur membabitkan latihan di gimnasium (latihan ringan) dan sebelah petang (latihan berat) di padang.
“Setakat ini, semua atlet mengikut perancangan yang sudah diatur. Biarpun ada perubahan pada sesi latihan ia tidak mengganggu mereka.
“Malah jika program dirancang dengan betul, prestasi atlet akan lebih meningkat selepas Ramadan,” katanya.