SKUAD Malayan Tigress tidak berjaya mendapat keputusan yang diharapkan apabila diikat tuan rumah, Arab Saudi tanpa jaringan dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A Kejohanan Women’s International Friendly di Stadium King Fahd Sports City, Taif.
Meskipun mempunyai deretan peluang untuk menjaringkan gol tetapi sifat tidak tenang di hadapan gawang menyebabkan Malaysia tidak berjaya menjaringkan gol sekaligus terpaksa berpuas hati dengan satu mata dan kini fokus kepada aksi seterusnya menentang Pakistan.
Namun bagi pengendali, Soleen Al-Zoubi ianya adalah keputusan yang positif dan berpuas hati dengan corak permainan yang ditunjukkan para pemainnya dan dia mahu memperbaiki beberapa kelemahan bagi memastikan kemenangan sekaligus layak ke separuh akhir.
Keputusan Masa Penuh
Kejohanan Women’s International Friendly | Isnin, 18 September 2023
ARAB SAUDI 🇸🇦 0-0 🇲🇾 MALAYSIA#FAM #HarimauMalaya #MalayanTigress pic.twitter.com/FJKJmlr47G
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) September 18, 2023
“Sejujurnya ia bukanlah keputusan yang kami harapkan tetapi pemain telah lakukan segalanya. Mereka bermain baik dan kurang bernasib baik kerana tidak menjaringkan gol tetapi ini adalah bola sepak.
“Banyak perkara boleh diperbaiki dan kita akan fokus pada perkara itu bagi menghadapi Pakistan namun apa yang penting, kita dapat lihat mereka bermain permainan yang diinginkan walaupun sedar bukan mudah bermain dengan tuan rumah.
“Untuk perlawanan seterusnya, kita perlu perbaiki penyudah dengan para pemain perlu lebih fokus dan saya jangkakan perkara ini daripada mereka kerana kita tahu perlawanan pertama biasanya paling sukar dan mereka mungkin lebih tenang selepas ini. Jika mereka lebih fokus dan tenang dalam penyudah kita akan menang,” katanya selepas perlawanan.
Soleen juga berterima kasih kepada para penyokong yang hadir ke stadium dan juga di tanah air yang nyata meningkat semangat para pemain dan kini mereka sudah mula fokus untuk perlawanan seterusnya.
Keputusan seri 0-0 itu menyaksikan Malaysia kini di tangga kedua Kumpulan A dan misi mencari tiga mata diteruskan pada perlawanan seterusnya menentang Pakistan pada 21 September.