KAPTEN pasukan Malaysian University Football Team (MUFT), Amirul Fazly Zamri menyatakan bahawa pertemuan suku akhir Piala FA menentang pasukan gergasi dari Selatan, Johor Darul Ta’zim adalah sebuah pentas terbaik untuk dirinya dan rakan-rakan menimba lebih banyak pengalaman.
Jelas pemain pertahanan ‘The University Tigers’ ini, peluang untuk beraksi menentang kelab seperti JDT adalah impian setiap pemain lebih-lebih lagi dapat beraksi bersama pemain bintang dimana banyak ilmu dan pengalaman boleh dipelajari olehnya sebagai pemain yang berstatus penuntut itu.
Walaupun begitu, Amirul dan rakan-rakannya tetap berazam mahu memberikan saingan dan cabaran yang terbaik memandangkan peluang untuk bertemu pasukan JDT ini tidak akan datang selalu.
“Bagi saya secara peribadi ini merupakan pengalaman berharga buat saya dan rakan sepasukan yang lain kerana bukan mudah sebenarnya dan kami masih tidak percaya akan dapat bermain untuk menentang JDT”
“Jadi saya dan rakan-rakan perlu memanfaatkan peluang ini, untuk menimba lebih banyak ilmu dan memantapkan kemahiran dan kebolehan kami dalam bolasepak ini” tambah Amirul.
Amirul juga menjelaskan, keputusan untuk pasukan Malaysian University beraksi di Stadium Sultan Ibrahim pada suku akhir pertama sebagai suatu bentuk penghargaan kepada pasukan itu kerana mendapat peluang beraksi di salah sebuah stadium terbaik di dalam negara.
Ujarnya lagi, umum mengetahui Stadium Sultan Ibrahim adalah antara gelanggang terbaik bukan sahaja di dalam negara malah di Asia juga dan disebabkan itu, ia menjadi satu penghargaan buat pemain Malaysian University dapat bermain di sana.
“Saya melihat ini sebagai sebuah bentuk penghargaan kepada kami kerana umum mengetahui bahawa Stadium Sultan Ibrahim adalah stadium terbaik dalam negara” kata Amirul.
Suku akhir pertama Piala FA, Malaysian University menentang JDT akan berlangsung hari ini dan suku akhir kedua akan berlangsung pada 5 Julai nanti.