BERMAIN dengan lebih berani, mampu mendatangkan keputusan lebih baik buat gandingan muda negara, Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian.
Jurulatih beregi lelaki, Poh Chai Boon berkata, ketika ini gandingan yang berada di ranking ke-86 dunia itu bermain secara selamat terutamanya pada perlawanan-perlawanan penting, dan hasilnya mereka sekadar muncul naib juara di Indonesia Masters II, di Surabaya, Ahad lalu.
“Sepanjang kejohanan, persembahan mereka bagus tetapi di final, mereka bermain terlalu selamat ketika saling mengejar mata,” kata Chai Boon.
Menurutnya, bermain secara selamat tidak salah namun perku ada keberanian untuk menukar rentak, “Perlu lebih berani dan percaya pada diri sendiri dan hasilnya akan lebih baik.”
Di final Indonesia Masters II, gandingan negara itu tewas kepada Kenbya Mitshuhashi-Hiroki Okamura dari Jepun 16-21, 18-21.
Justeru, menggalas cabaran di KL Masters bermula hari ini, Chai Boon mahu gandingan terbabit menampilkan aksi lebih berani di laman sendiri.
Mereka akan membuka cabaran menentang wakil Thailand, Weeraphat Phakjarung-Tanupat Viriyangkura di pusingan 32 esok.
Gandingan Hoon Jian-Haikal terlahir selepas Nur Izzuddin Rumsani dan Goh Sze Fei mahu bergabung semula pada Mei lalu.
Pada Januari lalu, Izzuddin mahu berpisah dengan Sze Fei menyaksikan Haikal digandingkan bersama Izzuddin dan Hon Jian bersama Sze Fei.
Justeru, Haikal mengajak Hon Jian berganding bersama selepas masing-masing tiada pasangan tetap selain enggan mengganggu perjalanan gandingan lain yang sudah mempamerkan keserasian.