SELEPAS kejayaan Thailand dalam mengikat pasukan Oman pada aksi kedua kumpulan F Piala Asia Qatar 2023, peluang untuk mereka menembusi kelompok 100 terbaik dunia nampaknya semakin cerah.

Perkara ini telah dibuktikan lagi menerusi satu perkongsian Footy Rankings di laman X yang melihatkan skuad bimbingan Masatada Ishii itu telah memperoleh tambahan mata sebanyak 3.89 hasil keputusan seri 0-0 dengan pasukan Oman yang berada di ranking-75 dunia.

Aksi cemerlang tersebut sekaligus dapat membantu Thailand melonjak tiga anak tangga ke kedudukan 102 dunia berbanding kedudukan ke-105 sebelum ini.

Sementara itu, pencapaian Thailand ini juga telah membuatkan mereka berjaya memintas Kyrgyzstan yang jatuh di tangga 104 selepas tewas dalam dua saingan awal kumpulan termasuk tumpas kepada Thailand.

Skuad ‘Gajah Perang’ dijadualkan bakal berdepan dengan salah satu jaguh Asia, Arab Saudi dalam aksi terakhir kumpulan F yang berlangsung di Stadium Education City pada 25 Januari nanti.

Menariknya, jika Thailand berjaya menundukkan pasukan Arab Saudi pada perlawanan tersebut, Thailand bakal memperoleh tambahan 25.25 mata dan berpeluang untuk mendaki tangga ke-97 dunia.

Kedudukan tersebut sekali gus akan mencantas kedudukan Vietnam selaku pasukan terbaik Asia Tenggara.