UNDIAN saingan akhir Piala Thomas memihak kepada pasukan lelaki negara, namun sejauh mana kemampuan skuad kali ini bergantung kepada nama pemain yang akan dibariskan pada saingan yang akan berlangsung di Chengdu, China, 28 April hingga 5 Mei depan.

Bekas anggota skuad Piala Thomas negara, Ong Ewe Hock berkata, peluang menang ada tetapi pasukan perlu melepasi saingan peringkat kumpulan terlebih dahulu.

“Melihatkan undian memang satu kelebihan tetapi lebih penting untuk pemain kita bermain dengan baik pada kejohanan itu nanti.

“Senarai pemain yang akan mewakili negara pun masih belum kita tahu, mungkin di saat akhir nanti akan ada pemain yang mengalami kecederaan dan sebagainya,” kata Ong Ewe Hock ketika dihubungi Flash Sukan.

Ong Ewe Hock yakin undian memihak skuad Piala Thomas negara, namun prestasi pemain pada hari perlawanan menjadi penentu kejayaan.

Jesteru itu, Ewe Hock memberitahu Malaysia perlu keluar dari peringkat kumpulan tidak kira sebagai juara atau naib juara.

“Kalau kita nak ke suku akhir, kita perlu memenangi semua perlawanan atau dua perlawanan, tetapi jadi naib juara, selepas itu baharu fikir siapa akan kita lawan.”

Berdasarkan undian oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) semalam, skuad Piala Thomas negara diundi dalam kumpulan D bersama pilihan kedua, Denmark, Hong Kong dan Algeria.

Sementara pilihan utama, China berada dalam kumpulan A bersama Korea Selatan, Kanada dan Australia.

Pilihan ¾, Jepun mengetuai kumpulan B bersamaTaiwan, Jerman dan Repub;lik Czech, manakala satu lagi pilihan ¾, Indonesia dalam kumpulan C bersama juara bertahan, India, Thailand dan England.

Kali terakhir skuad Piala Thomas ke perlawanan akhir pada edisi 2014 di New Delhi, yang menyaksikan barisan pemain diketuai Datuk Lee Chong Wei tewas 2-3 kepada Jepun.

Sebagai rekod juga, kali terakhir Malaysia membawa pulang trofi Piala Thomas pada edisi 1992 yang menyaksikan skaud negara menewaskan Indonesia 3-2.

Pemain yang menjulang nama negara ketika itu termasuk Datuk Rashid Sidek, Razif-Jalani Sidek, Foo Kok Keong, Cheah Soon Kit-Soo Beng Kiang dan Kwan Yoke Meng.

Selepas itu, skuad negara beraksi di tiga ginal iaitu 1994, 1998 dan 2002 namun ketiga-tiganya tewas kepada Indonesia.