PELUANG pasukan Perak FC menempatkan slot ke Piala Malaysia musim ini tampak tipis selepas kecundang 1-0 kepada Johor Darul Ta’zim II di Pasir Gudang, pada Sabtu.

Berpandukan kedudukan terkini Liga Premier, Perak yang di bimbing oleh Yusri Che Lah berada tangga kedua tercorot dan mengutip tujuh mata.

“Amat berharap tiga baki perlawanan yang ada. Kena tengok apa yang berlaku di depan.

“Peluang ke Piala Malaysia tipis kerana UiTM ada empat perlawanan kita ‘dok’ lawan harap depa (mereka) kalah, ‘dok’ harap ni yang tak berapa cun sikit kan.

“Apapun, saya harap penyokong dapat hadir ke stadium Perak pada 21 Ogos ini lawan Projek FAM-MSN.

“Kita masih lagi mengejar ke slot Piala Malaysia,” katanya akui seronok apa yang ditampilkan permainan pasukan sepanjang 90 minit.

 

Beberapa tonggak utama The Bos Gaurus alami kecederaan dan penggantungan permainan dan ianya amat meresahkan pengendali berasal dari Perlis ini.

“Saya agak risau kecederaan Wan Zack Haikal (Wan Noor) dan kita perlu lihat dalam masa terdekat keadaannya.

“Yang risau ketiadaan Sunday (Afolabi) untuk perlawanan akan datang yang bagi banyak kemudahan dalam permainan dan taktikal saya.

“Ketiadaannya pada minggu hadapan saya perlu fikir siapa seharusnya ditempatkan di posisinya akibat kumpul tiga kad kuning dan digantung satu perlawanan.

“Saya ingatkan (elak kad kuning) dia masa kena di Kelantan. Tapi apa boleh buat,” ujarnya menjawab soalan daripada pihak media.