SELANGOR FC perlu mengambil kesempatan atas masalah dalaman yang sedang melanda skuad Kelantan FC untuk mencari tiga mata sekaligus kemenangan ketiga berturut-turut apabila kedua-dua pasukan ini bertemu untuk aksi kelapan Liga Super di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Ahad.
Kelantan kini dalam keadaan yang berantakan selepas tindakan pihak pengurusan untuk merehatkan ketua jurulatih, Choi Moon Sik telah mengundang kecaman daripada ejen jurulatih itu dan kini tular di laman sosial sehingga menjadi sohor hingga ke Korea Selatan.
Gergasi Merah pula sedang dalam kemuncak prestasi selepas bangkit dari kekalahan kepada Johor Darul Ta’zim untuk memenangi dua perlawanan berturut-turut ke atas Kuala Lumpur City FC dan Negeri Sembilan FC.
Pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe tidak mahu anak-anak buahnya mengambil mudah perlawanan menentang skuad The Red Warriors ini kerana padanya setiap perlawanan adalah berbeza dan pemain perlu menghormati lawan yang bakal dihadapi.
“Saya berpesan kepada pemain bahawa semua perlawanan adalah penting dan tidak mengambil mudah pasukan lawan kerana akan terdapat perbezaan dari sudut taktikal dan cara permainan serta mereka perlu bersedia untuk menghadapi semua situasi.
“Pasukan kami perlu sentiasa konsisten dan tidak boleh terumbang-ambing kerana setiap perlawanan dan mata itu penting untuk pasukan berada pada tahap terbaik,” katanya menjelang aksi.
Sementara itu pengendali sementara Kelantan, Rezal Zamberi Yahya pula berkata fokus utamanya kini adalah mahu meningkatkan corak permainan Kelantan FC dan mempersiapkan pasukan untuk menghadapi Selangor.
“Saya pun masuk secara mengejut. Jadi tidak banyak yang boleh dilakukan dalam masa singkat tetapi saya anggap ianya cabaran untuk saya dan pasukan ini dan apa yang penting, saya sedia ambil cabaran dan menyiapkan pasukan untuk aksi menentang Selangor,” jelasnya.
Dari lima pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan ini, Selangor berjaya menang tiga kali manakala Kelantan hanya mencatat satu kemenangan dengan satu lagi pertemuan berakhir dengan keputusan seri.
Kemenangan akan menjamin Selangor kekal dalam dua tempat teratas liga manakala Kelantan pula akan keluar dari kelompok bawahan liga jika berjaya mendapat tiga mata dalam aksi di tempat lawan yang dijangka sukar ini.