TUNKU Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberikan teka-teki kepada penyokong bola sepak tempatan apabila memuat naik senarai pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk musim 2023 di laman sosial peribadinya pada Rabu.
Selepas mengumumkan kembalinya Diogo dan Endrick Dos Santos ke Iskandar Puteri, kini teka-teki mengenai kekosongan posisi penjaga gol pula yang menjadi persoalan para penyokong Harimau Selatan.
Kehadiran TMJ ke sesi latihan rasmi skuad Harimau Malaya seakan memberikan bayangan tentang siapakah yang bakal menjadi penjaga gawang JDT menyertai Farizal Marlias dan Haziq Nazli.
Tinjauan FLASH SUKAN di sesi latihan itu dapat melihat kemesraan yang terbentuk antara Tunku Ismail dan bekas penjaga gol Negeri Sembilan FC, Syihan Hazmi apabila kedua-dua mereka dilihat berpelukan dan sangat mesra berkongsi pendapat.
Syihan sudah pun dilepaskan Negeri Sembilan FC baru-baru ini serta masih belum mengumumkan kelab baharunya dan desas-desus kuat mengatakan dia adalah rekrut terbaharu Harimau Selatan.
Penjaga gol berusia 26 tahun itu kini dalam misi membantu skuad kebangsaan untuk memenangi perlawanan separuh akhir pertama Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.