SEORANG pelumba muda motosikal Argentina berusia sembilan tahun meninggal dunia selepas mengalami kecederaan serius dalam kemalangan semasa sesi latihan ketika perlumbaan remaja di Brazil.
Lorenzo Somaschini terbabas di Litar Interlagos di Sao Paulo ketika menjalani latihan bebas untuk Piala Remaja Honda pada Jumaat, yang merupakan acara perlumbaan remaja terbesar di rantau ini.
Menurut penganjur acara SuperBike Brazil, Somaschini, dari Rosario, dibawa ke Hospital Albert Einstein Sao Paulo dan disahkan meninggal dunia Isnin.
Pegawai acara berkata, Somaschini menerima rawatan perubatan segera dan pada mulanya stabil, namun kemudian keadaannya bertambah buruk dan dia dipindahkan ke rawatan rapi pada Sabtu.
Dikenali sebagai Lolo, pelumba muda itu menggunakan nombor 99 pada motosikalnya sebagai penghormatan kepada juara dunia MotoGP tiga kali Jorge Lorenzo.
Penunggang Sepanyol yang sudah bersara itu berkata di Instagram: “My heart breaks because I was his idol and he had my number. Unfortunately, motorcycles can give us everything, at any time. A very big hug to the family.”
Piala Honda Junior ialah acara bagi peserta yang berusia antara lapan dan 16 tahun menunggang motosikal yang diubah suai dengan pedal dan bar hendal khas, boleh mencapai kelajuan sehingga 100km (62 batu) sejam.