THAILAND dijangka ‘parkir bas’ di benteng pertahanan mereka ketika berdepan Malaysian Tigers pada pertemuan pertama hoki Kumpulan B, esok.
Justeru, pengendali skuad kebangsaan A Arulselvaraj mahu pemainnya bermain dengan kesabaran tinggi untuk memecah kubu negara jiran, pada pertembungan yang akan berlangsung di Stadium Gongshu Canal Sports Park.
“Kita tahu mereka akan bertahan dan meminimumkan perbezaan gol selain mempertahankan maruah mereka.
“Walaupun kita tampil sebagai pasukan pilihan, kita akan bermain mengikut sistem kita dan bermain dengan penuh kesabaran.
“Dengan cara itu, gol yang kita cari akan datang,” katanya.
Di atas kertas, Malaysia dijangka tiada masalah untuk menewaskan Thailand dan mampu mendapatkan jaringan besar pada perlawanan pertama itu, bagi mendapatkan motivasi Oman pada perlawanan kedua (Selasa).
Selepas itu skuad negara akan menentang Indonesia (Khamis), Korea Selatan (Sabtu), dan China pada Isnin (2 Oktober).