PEMAIN Bawah 23 tahun (B-23), Muhammad Aliff Najmi Shaaini kini dalam radar Kim Pan-gon ketika jurulatih itu mahu memperkuat bahagian pertahanan tengah.
Bagaimanapun, persoalan sama ada pemain dari Kelantan United itu akan diserap ke pasukan senior atau tidak, berkemungkinan hanya diputuskan selepas perlawanan persahabatan pada Ahad menentang pasukan Liga M3, Persada Images Bersatu (PIB FC) dan mesyuarat antara jurulatih pada Selasa.
Jurulatih skuad B-23 negara, E.Elavarasan berkata, Aliff Najmi, 22, sudah tiga kali menjalani latihan bersama skuad senior.
“Pasukan senior sedang fokus kepada pemain Aliff Najmi dari Kelantan United, dia diserapkan ke pasukan senior semasa kita bermain dengan pasukan senior (persahabatan). Bagus untuk pasukan B23 negara.
“Mungkin lagi dua pemain kita akan hantar selepas kem ini, untuk sertai pasukan senior dan mendapat pendedahan dan mungkin jurulatih Kim nampak mereka ada potensi bermain untuk pasukan senior di masa akan datang,” kata Elavarasan.
Bagaimanapun Elavarasan enggan berkongsi dua lagi nama yang bakal diajukan kepada Pan-gon, untuk menjalani latihan bersama skuad senior.
“Mungkin bukan sekarang, (Aliff Najmi) dengan saiz yang tinggi kerana kita sedang mencari bek tengah yang ada ketinggian, dia antara yang berpotensi,” katanya.
Elavarasan berkata, ketika perlawanan persahabatan antara skuad B-23 menentang skuad senior Harimau Malaya, Jumaat lalu, Aliff Najmi beraksi bersama pasukan dibimbing Pan-gon.
Pada sesi latihan skuad B-23 negara di Padang Wisma FAM pada Ahad, Aliff Najmi dilihat bersama skuad Elavarasan.