KETUA Jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon gembira dengan kemenangan 3-1 Harimau Malaya ke atas Turkmenistan dalam aksi pembukaan Kumpulan E Kelayakan Akhir Piala Asia 2023, Rabu malam.
Menurut Pan-gon kejayaan ini adalah milik bersama selepas pemain memberikan aksi terbaik sepanjang 90 minit yang boleh dibanggakan oleh semua penyokong Malaysia.
Malah dia turut memuji barisan kejurulatihannya, namun menganggap semangat para pemain adalah segala-galanya untuk perlawanan ini.
“Saya sangat bangga dengan semua pemain Harimau Malaya dan terima kasih kepada Ultras Malaya serta para penyokong bola sepak Malaysia. Kita harus meraikan kejayaan ini bersama-sama. Kita berikan penyokong sesuatu untuk dibanggakan dan ini adalah salah satu malam yang baik buat kami. Saya juga gembira dengan kemenangan ini.
“Pemain saya bermain baik dan memberikan 120 peratus serta berjaya mengawal perlawanan. Kami mempunyai banyak tenaga dan semangat melawan yang boleh dibanggakan rakyat Malaysia. Pemain-pemain memberikan tiga kali ganda usaha dan ianya sangat bagus.
“Pasukan kejurulatihan telah memberikan saya analisis yang baik dan para pemain bermain seperti harimau sebenar kerana walaupun kita bersedia tetapi jika tiada semangat kita tidak akan mencapai kejayaan ini,” ujar Pon-gon ketika sidang media selepas perlawanan.
Dalam pada itu, Pan-gon masih kekal dengan sasaran tujuh mata dan layak ke Piala Asia serta mahu membuktikan bahawa Malaysia bukanlah pasukan yang mudah kepada pihak lawan.
“Kita adalah manusia dan kita lakukan kesilapan. Apa yang penting adalah bagaimana para pemain bangkit selepas melepaskan gol mudah itu. Mentaliti seperti ini sangat bagus dan saya tidak mengira satu kesilapan sebagai punca segala-galanya dan kami menang sebagai satu pasukan.
“Sudah tentu kami mahukan kemenangan tetapi kita harus sedar bahawa ranking Bahrain lebih tinggi dan kita harus bijak untuk mendapatkan mata. Sasaran kita adalah untuk layak dan kami akan teruskan corak permainan yang sama untuk mendominasi perlawanan,” tambahnya.
Dengan kemenangan ini, Malaysia mendahului Kumpulan E dengan tiga mata tetapi dibezakan jumlah jaringan dan akan bertemu Bahrain pada Sabtu sebelum bertemu Bangladesh pada Selasa.