BARISAN pemain berpengalaman di pentas antarabangsa, dijangka akan terus diberi kepercayaan beraksi dalam acara regu pada kempen Piala Dunia Sepak Takraw ISTAF 18 hingga 26 Mei depan.

Tahap saingan yang besar serta mampu menghadirkan tekanan tinggi, membuatkan pemain yang pernah diberi kepercayaan akan terus digunakan pada aksi di Tasik Titiwangsa kira-kira dua bulan lagi.

Syahir dan Azlan, gandingan tekong dan killer yang sering diberi kepercayaan dalam acara regu.

Pengalaman, ketenangan yang ada pada Farhan terus mendapat kepercayaan ketua jurulatih, Ahmad Jais Baharun.

Ketua jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun berkata, lima pemain akan disenaraikan untuk mewakili negara dalam acara antara regu, tiga pemain bagi acara antara double, manakala selebihnya akan bermain dalam acara berpasukan.

“Untuk acara regu, kita sudah ada gambaran iaitu Mohamad Syahir Mohd Rosdi, Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican, Mohamad Azlan Alias, Farhan Adam dan seorang lagi yang sedang kita nilai sebagai pemain simpanan bagi membantu Azlan nanti.

Senarai akhir pemain ke Piala Dunia Sepak Takraw Istaf, akan diputuskan PSM tidak lama lagi. -Ahmad Jais Baharun, Ketua Jurulatih Sepak Takraw Kebangsaan.

“Sementara itu, kita mempunyai empat pemain utama dalam acara double dan kita bakal menamakan Muhammad Noraizat Mohd Nordin, Adil Aiman Azwawi, Norfaizzul Abdul Razak danShahairil Aiman Halim, namun salah seorang daripadanya bakal digugurkan kerana hanya boleh menamakan tiga pemain dalam acara double,” kata Ahmad Jais, yang ditemui pada sesi latihan di Gimnasium 2, Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil.

Begitupun, beliau berkata, senarai akhir pemain hanya akan diputuskan kemudian selepas dipersembahkan kepada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) kerana hanya 15 pemain dibenar untuk disenaraikan ke Piala Dunia, bagi acara regu, double dan berpasukan.

Noraizat terus diberi kepercayaan dalam acara double.

Dalam usaha mempersiapkan pasukan yang mantap di Piala Dunia nanti, Ahmad Jais memberitahu, seramai enam pemain akan menyertai kejohanan Prince Cup 2024 yang akan berlangsung di Passion Island, di Bangkok, dua hingga lapan April depan.

“Dua pemain regu, iaitu Syahir dan Zariff, serta keempat-empat pemain double akan beraksi pada Prince Cup iaitu kejohanan kebangsaan Thailand.

“Mereka akan menyertai pasukan Tentera Laut (Navy) Thailand. Syahir dan Zariff akan ke Thailand pada 23 Mac ini, manakala pemain double Noraizat, Aidil Aiman, Faizul dan Shahairil Aiman akan ke sana pada 31 Mac,” ujar Ahmad Jais.

Tiada masalah menjalani latihan di bulan Ramadan. Skuad sepak takraw negara memberi komitmen sepenuhnya menjalani dua sesi latihan sebelah petang dan malam.

Tambah beliau, penyertaan pemain negara pada Prince Cup itu, atas jemputan daripada kelab sepak takraw Tentera Laut Thailand dan beliau berasakan ianya satu peluang baik untuk pemain mendapat pengalaman sebelum kempen Piala Dunia bermula.

Sebagai persediaan rapi Piala Dunia juga, skuad negara menjalani latihan dua sesi iaitu sebelah petang (5-6.30 petang) dan malam (10 malam – 2 pagi).

“Latihan sebelah petang membabitkan latihan asas kemahiran, manakala latihan malam fokus kepada teknikal, fizikal serta perlawanan.”