BEKAS pemain Harimau Malaya, Mohd Amri Yahya yang memacu kejuaraan Piala AFF 2010 buat kali pertama bersama rakan sepasukan percaya Malaysia mampu menewaskan Thailand untuk melangkah ke pentas final.
Keyakinan ini berdasarkan gaya permainan yang diterapkan Kim Pan-gon serta komitmen pemain yang menggalas tugas.
“Setakat ini saya lihat banyak peningkatan dalam kalangan pemain dan mereka amat serasi serta bermain bersungguh-sungguh demi lencana di dada.
“Saya lihat tiada kelemahan pasukan ini kerana mereka bermain bersungguh-sungguh untuk pasukan dan keluarga, mereka cuba untuk berikan kemenangan untuk negara,” katanya yang kini beraksi untuk pasukan Sabah FC.
Amri turut mengharapkan Harimau Malaya mampu beri saingan sengit dan bawa kemenangan kepada rakyat Malaysia.
“Tidak mustahil mereka mampu menang kerana mereka bermain dengan sepenuh hati dan kerjasama antara mereka memang tinggi,” ujarnya ketika ditemui FLASH SUKAN.
Untuk rekod, Amri juga turut tersenarai dalam skuad kebangsaan kendalian Datuk K. Rajagopal yang julung kali memenangi Piala Suzuki AFF 2010.