JURULATIH beregu pasukan badminton India, Matthias Boe memuji prestasi gandingan Satwiksairaj Rankireddy-Shetty Chirag atas persembahan mereka yang semakin meningkat dalam beberapa kejohanan besar sebelum ini terutama dalam aksi Piala Thomas 2022.

Tambahnya, ia juga bakal menjadi pemangkin kepada motivasi beregu muda India lain untuk beraksi pada tahap tertinggi seperti Satwiksairaj Rankireddy dan Chetty Shirag.

“Mereka bermain sangat baik dalam Thomas Cup, tetapi kita harus lihat sama ada mereka mampu bermain dengan keyakinan yang sama.

“Saya sangat berpuas hati dengan cara mereka bermain. Ia juga memberi motivasi kepada pemain beregu India yang lain tetapi ia memerlukan kerja keras daripada seluruh pemain,” ujar Boe kepada FLASH SUKAN.

Ketika ditanya tentang rahsia jurulatih tersebut yang diselitkan kepada gandingan India yang kelihatan sangat tenang ketika bermain menentang pemain bertaraf dunia yang lain, jurulatih dari Denmark itu menyifatkan tiada satu ‘ubat magis’ untuk menghilangkan rasa gementar namun ianya adalah lebih kepada teknik mereka meresap tekanan tersebut dan tetap berdisiplin memberikan aksi yang terbaik meskipun berasa nervous. 

“Ia tentang bagaimana kita berhadapan dengan tekanan itu. Pemain ternama dunia pun rasakan situasi yang sama tapi mereka mempunyai teknik dan kaedah yang mereka dapat gunakan apabila mereka berasa gementar.

“Yang paling penting kita tidak takut ketika berhadapan dengan mana-mana lawan dan secara individu mungkin kita mempunyai cara tersendiri mengurangkan sedikit ketegangan tersebut, tetapi pada hakikatnya, kita adalah manusia, kita tetap akan berasa gementar,” jelas jurulatih berusia 41 tahun itu.