KEJUTAN dijangka berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang apabila sebuah parti dikhabarkan bakal menamakan seorang pemain bola sepak sebagai calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Menurut sumber rapat parti yang enggan dikenali mendedahkan, mereka telah bersiap sedia untuk mencalonkan pemain tersebut yang masih aktif lagi dalam kancah bola sepak Malaysia.
Jelasnya lagi, mereka masih merahsiakan identiti pemain tersebut dan akan membuat pengumuman pada penamaan calon akan datang.
“Benar, seorang pemain Liga Malaysia dalam perancangan untuk dicalonkan sebagai ADUN untuk PRN kali ini,” katanya kepada FLASH SUKAN.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos sebagai hari pengundian bagi enam PRN membabitkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 29 Julai manakala bagi pengundian awal, tarikh ditetapkan ialah pada 8 Ogos.
Bagi tempoh berkempen, ia ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 29 Julai sehingga 11.59 malam, 11 Ogos.