PERSEKUTUAN Catur Antarabangsa (Fide) melarang sementara wanita transgender daripada bertanding dalam acara wanita.

Fide berkata, kes individu pula memerlukan analisis lanjut dan keputusan boleh memakan masa sehingga dua tahun.

Tindakan itu bagaimanapun telah dikritik oleh beberapa pemain dan peminat.

Banyak badan induk sukan telah mengusahakan dasar terhadap atlet transgender, tetapi catur tidak melibatkan tahap aktiviti fizikal yang setanding.

Image

Bagaimanapun Fide memberitahu BBC mereka mahu menganalisis kesan dasar ini dan tidak mahu tergesa-gesa melakukan proses itu.

“Perundangan transgender sedang berkembang pesat di banyak negara dan banyak badan sukan mengamalkan dasar mereka sendiri

“Fide akan memantau perkembangan ini dan melihat bagaimana kita boleh menerapkannya dalam dunia catur. Dua tahun adalah skop pemerhatian yang kelihatan munasabah untuk analisis menyeluruh mengenai perkembangan tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, pemain transgender masih boleh bersaing di bahagian terbuka kejohanannya.

Yosha Iglesias, pemain catur profesional trans wanita dengan pangkat Fide berkata, dasar itu akan membawa kepada kemudaratan yang tidak perlu untuk pemain trans dan wanita.

“Keadaan mengerikan ini akan membawa kepada kemurungan dan cubaan membunuh diri,” kata Iglesias.

Grandmaster Wanita dan Juara Wanita Amerika Syarikat dua kali, Jennifer Shahade turut mengkritik keputusan Fide, dengan mengatakan dasar itu “tidak masuk akal dan berbahaya”.

“Sudah jelas mereka tidak berunding dengan mana-mana pemain transgender dalam membinanya… Saya menggesa Fide bermula dari awal dengan perunding yang lebih baik,” kata Shahade.

Bulan lalu, badan induk berbasikal dunia turut memutuskan wanita transgender akan dihalang daripada bertanding dalam acara wanita.

Sementara itu pada Rabu, Akuatik Dunia berkata mereka akan membuat debut kategori terbuka baharu untuk atlet transgender pada acara Piala Dunia Renang tahun ini di Berlin selepas mengundi tahun lepas untuk menghentikan atlet transgender daripada bersaing dalam perlumbaan elit wanita.