SETELAH dikecam hebat selepas tewas kepada Melaka United Selasa lalu, pengendali Selangor FC, Michael Feichtenbeiner akhirnya berjaya melakukan tactical masterstroke untuk membawa Selangor layak ke suku akhir Piala FA.
Dua pemain gantian, Nor Hakim Hassan dan Aliff Haiqal terus membawa impak selepas dimasukkan untuk memberikan kemenangan 1-0 ke atas Kuala Lumpur City FC di Stadium MBPJ Kelana Jaya.
Kedua-dua pemain itu masuk pada minit ke-61 dan seminit kemudiannya, Hakim berjaya mengumpan bola untuk disudahkan oleh Aliff Haiqal sekaligus menggembirakan 2,354 penyokong yang hadir.
Perlawanan Klang Valley Derby yang panas ini menyaksikan lima kad kuning dilayangkan pengadil bertugas hasil permainan keras kedua-dua pasukan yang mahukan kemenangan.
KL City gagal membawa momentum baik di Piala AFC dengan penyerang baharu mereka, Jordan Mintah dilihat bergelut untuk menyesuaikan diri di dalam perlawanan penting ini.
The City Boys juga harus menyalahkan diri sendiri apabila gagal menyempurnakan beberapa peluang yang hadir dengan rembatan Arif Shaqirin pada penghujung perlawanan gagal menemui jaring.
Kedudukan 1-0 kekal hingga tamat perlawanan dan Selangor berjaya ke suku akhir untuk bertemu Sabah di Kota Kinabalu pada 23 Julai nanti sekaligus menyingkirkan KL City dari kejohanan.