GUANGZHOU FC dengan status sebagai juara dua kali Liga Juara-Juara AFC dilihat terkesan selepas dibelasah tuan rumah, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam pertemuan Kumpulan I di Stadium Sultan Ibrahim semalam.

Meskipun dibarisi pemain muda ekoran peraturan kuarantin yang bakal menggangu perjalanan Liga Super China, pengurusan Guangzhou FC terus memberikan hukuman kepada ketua jurulatih, pembantunya dan juga pemain yang menerima kad merah.

Guan Haojin yang dilayangkan kad merah selepas menendang kepala penyerang JDT, Bergson Da Silva telah ditamatkan kontraknya manakala jurulatih dan pembantu-pembantu jurulatih telah dipotong gaji menurut laporan laman Titan Sports Plus.

Mungkin perkara ini dianggap sebagai keterlaluan tetapi itulah sikap profesional sebuah kelab gergasi yang tidak bertoleransi dengan pemain yang tidak berdisiplin dan barisan kejurulatihan perlu mengambil tanggungjawab atas kekalahan.

Hukuman ini pastinya akan dijadikan pengajaran buat para pemain lain dan juga barisan kejurulatihan dengan memastikan mereka berdisiplin dan beraksi cemerlang jika diturunkan dalam perlawanan.

Semoga hukuman ini akan memberikan semangat kepada Guangzhou FC untuk mencatat keputusan yang lebih baik ketika menentang Kawasaki Frontale dalam perlawanan kedua mereka Isnin nanti di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin.