TERPANCAR kelegaan di wajah Yusri Che Lah semasa mengendalikan perlawanan persahabatan dalam tempoh 13 hari, dan kali ini menentang seteru utara, Penang FC di Ipoh pada Jumaat malam.

Walaupun tidak menggapai kemenangan jika dibandingkan dua aksi terdahulu ketika ‘rakus’ membenam kelab dari Singapura, jurulatih skuad Perak FC itu melahirkan reaksi positif atas semangat juang dipamerkan barisan pemain.

Tanpa jaringan selepas 90 minit, tuan rumah yang mendapat sokongan padu daripada peminat setia dilihat menguasai permainan termasuk melakukan percubaan yang nyaris menterjemahkan hasil dalam bentuk jaringan.

“Secara keseluruhannya, Alhamdulillah saya bersyukur sangat kerana pemain mengikuti perancangan dari segi keinginan. Saya melihat tahap kecergasan walaupun malam ini (semalam) kita lihat pemain yang sama diturunkan melebihi 45 minit.

“Perlawanan persahabatan selalunya memberikan kelebihan, tetapi malangnya agak kurang daripada segi kawalan bola terutamanya di minit terakhir dan apapun saya bangga kerana pemain saya tidak melepaskan jaringan. Itu yang lebih pasti dalam tiga perlawanan dilalui,” katanya kepada FLASH SUKAN selepas perlawanan di Stadium Perak.

May be an image of 1 person, playing American football, playing football and text

Adilet Kanybekov tampil cemerlang menjana barisan tengah Perak FC.

Tanpa kelibat beberapa pemain utama seperti Jesper Nyholm dan Sunday Afolaby, Perak menurunkan Tommy Mawat, Luka Milunovic dan Adilet Kanybekov dalam kesebelasan terbaik dalam usaha mencari ramuan dan keserasian untuk membentuk barisan bayangan musim ini.

Pertukaran pemain turut dilakukan pada setiap babak apabila kesemua pemain diberi ruang menikmati minit permainan bagi membina keyakinan beraksi pada saingan sebenar kelak.

Tambah Yusri, menjaringkan enam gol adalah pencapaian yang hebat, tetapi jurulatih asal Perlis berusia 47 itu menekankan bahawa ini bukan masa buat dirinya untuk berpuas hati.

Yusri yakini barisan pemain walaupun sekadar seri tanpa jaringan bertemu Penang FC.

Dia menyedari bahawa cabaran yang lebih besar menanti mereka apabila bersaing dengan pasukan-pasukan ternama dalam Liga Super yang turut menyediakan elemen pakej lengkap persiapan pramusim.

Ujarnya lagi, hal ini menunjukkan komitmen pasukan The Bos Gaurus untuk terus meningkatkan prestasi dan mencapai kejayaan di peringkat yang lebih tinggi.

Sebelum ini, Perak telah memulakan kempen pramusim dengan kemenangan yang mengagumkan. Kelab dari utara itu mudah menewaskan Geylang International FC dengan keputusan 3-0 dan juga membenam cabaran Albirex Niigata, 3-1.

Prestasi cemerlang ini menunjukkan bahawa Perak dalam keadaan yang baik dan bersedia untuk menghadapi cabaran yang lebih besar dalam saingan yang akan datang.