SERANGAN secara peribadi dan umum telah dilemparkan netizen Indonesia kepada pemain skuad Garuda selepas tewas 0-4 kepada Libya dalam aksi ujian di Turki menjelang kempen Piala Asia yang bakal bermula pada 12 Januari 2024.
Dalam aksi di Mardan Training Center, Turki itu, anak-anak buah Shin Tae-yong dilihat sering melakukan kesilapan individu yang menjadi punca kekalahan sekaligus mengundang kemarahan penyokong yang sentiasa meletakkan harapan tinggi kepada timnas Indonesia.
Dua kesilapan berprofil tinggi dari dua pemain naturalisasi – Justin Hubner dan Jordi Amat menambah kemarahan netizen yang rata-ratanya tidak berpuas hati dengan kualiti yang ditunjukkan sebagai pemain profesional.
Pertahanan Wolverhampton Wanderers, Justin Hubner yang melakukan debut bersama skuad senior Indonesia melakukan kesilapan mudah yang menyebabkan Libya menjaringkan gol ketiga apabila hantaran lintangnya di depan gawang menemui pemain lawan yang mudah menjaringkan gol pada minit ke-89.
Kemarahan penyokong Indonesia bertambah seminit selepas itu kali ini menerusi kesilapan pertahanan Johor Darul Ta’zim, Jordi Amat yang gagal mengawal bola di bahagian tengah hingga pemain Libya dapat melakukan jaringan menarik dari tengah padang.
Hubner telah memohon maaf kepada para penyokong dan netizen menerusi hantaran di instastory peribadinya namun ianya tidak dapat memadam kemarahan para penyokong yang menganggap kesilapan seperti itu tidak sepatutnya dilakukan olehnya.
Indonesia bakal bertemu Libya sekali lagi pada 5 Januari namun kekalahan ini meresahkan para penyokong kerana mereka melihat para pemain mempunyai masalah komunikasi sekaligus menimbulkan rasa gerun untuk menentang Jepun dan Iraq pada kejohanan sebenar nanti.
Para pemain Indonesia terutama pemain naturalisasi bukan hanya berdepan lawan yang bagus dan berkualiti ketika peringkat kumpulan tetapi perlu berhadapan harapan penyokong yang sentiasa tinggi mahu melihat Indonesia mempamerkan aksi yang berkualiti dan mampu mencabar di peringkat Asia.
Indonesia diundi dalam Kumpulan D bersama Jepun, Iraq dan Vietnam dengan Iraq bakal menjadi lawan pertama pada 15 Januari dalam misi memburu keputusan terbaik buat skuad Garuda dalam Piala Asia kali ini.