PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio gembira dengan aksi yang ditampilkan pemain-pemainnya ketika menewaskan Kelantan Darul Naim FC 1-6 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Ahad.
Turun sebagai pasukan pelawat di gelanggang sendiri, Harimau Selatan tidak berdepan masalah untuk meraih tiga mata selepas berjaya membawa pulang satu mata dari Shanghai ketika kempen Liga Juara-Juara AFC Elite 2024-25.
Malah Bidoglio tidak melihat keletihan akibat jadual yang padat dan jarak tempuh yang jauh sebagai satu alasan kerana dia berpendapat semua pemainnya bersedia diturunkan dalam semua perlawanan.
“Pada pendapat saya para pemain tidak kelihatan keletihan dan mereka berada dalam keadaan yang baik dengan prestasi yang baik. Ianya satu perlawanan yang sukar untuk membuka jaringan.
“Tetapi pasukan melakukan pelbagai cara di dalam padang cuma sedikit kurang tepat ketika hantaran bola terakhir dan selepas mendapat gol pertama mereka lebih selesa dan saya gembira dengan persembahan mereka.
“Pemain kami sedia bermain dalam semua perlawanan sama ada di ACL atau di Liga Super. Saya mempunyai skuad yang bagus dan perlu memilih pemain yang tepat untuk membantu pasukan kerana setiap perlawanan adalah berbeza dan penting buat kami dan apa yang penting adalah kami hanya perlu fokus kepada diri kami sendiri untuk meraih kemenangan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Pengendali asal Argentina itu juga turut memuji persembahan Arif Aiman Hanapi yang meledak dua jaringan selain peranan Romel Morales di dalam pasukan selain turut berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan semua pemain yang berada di dalam skuad.
“Saya gembira dengan persembahan pemain yang bermain sebagai satu pasukan dan Arif serta Romel membuktikan mereka adalah pemain yang baik dan semua pemain skuad ini semakin bertambah baik dari satu perlawanan ke perlawanan yang lain,” jelasnya.
Dengan kemenangan ini, JDT melebarkan jurang mata sebagai pendahulu liga kepada enam mata dan kini akan mempersiapkan pasukan untuk menghadapi Kuching City FC pada 27 September dan Shanghai Shenhua pada 1 Oktober dengan kedua-dua aksi akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim.