PEMAIN Jerman menutup mulut mereka untuk bergambar pasukan sebelum perlawanan pembukaan Piala Dunia 2022 menentang Jepun semalam sebagai protes terhadap keengganan Fifa membenarkan lilitan lengan bertemakan pelangi.

Kapten tujuh pasukan Eropah telah merancang untuk memakai lilitan anti diskriminasi semasa kejohanan di Qatar sebagai sebahagian daripada kempen untuk pelbagai budaya dan kepelbagaian.

Tetapi mereka tidak jadi melakukannya kerana ancaman tindakan disiplin daripada badan induk bola sepak, termasuk kad kuning.

Ban lengan pelangi telah dilihat sebagai bantahan simbolik terhadap undang-undang di Qatar, di mana homoseksualiti adalah haram.

Persekutuan Bola Sepak Jerman dalam ciapan Twitter berkata, ia bukan tentang membuat kenyataan politik dan hak asasi manusia tidak boleh dirunding.

“Menafikan kami lilitan adalah sama seperti menafikan kami suara. Kami tetap dengan pendirian kami,” demikian ciapan itu.

Menteri Dalam Negeri Jerman, Nancy Faeser memakai lilitan ‘OneLove’ ketika dia menonton perlawanan itu duduk di sebelah presiden Fifa, Gianni Infantino di Stadium Antarabangsa Khalifa di Doha.

Dia berkata larangan Fifa adalah ‘kesilapan besar’.

“Bukan sahaja pemain, tetapi peminat juga harus dibenarkan untuk menunjukkan simbol pro-LGBTQ secara terbuka, kata Faeser kepada pemberita di Qatar.

“Penyokong harus membuat keputusan untuk diri mereka sendiri sama ada mereka mahu memakai simbol itu,” tambah Faeser.

Jurucakap kerajaan Jerman, Steffen Hebestreit di Berlin berkata bahawa keputusan Fifa untuk menghalang kapten daripada memakai lilitan lengan OneLove adalah sangat malang.

“Hak orang LGBTQ tidak boleh dirundingkan,” kata Hebestreit pada sidang akhbar.

Kakitangan keselamatan di Piala Dunia telah mengarahkan penonton untuk menanggalkan pakaian yang mempunyai logo pelangi.

Lanjutan ketegangan pada kejohanan berhubung isu itu, Jan Vertonghen dari Belgium berkata semalam bahawa dia ‘takut’ untuk bercakap mengenai hak asasi manusia.

Vertonghen, bercakap pada malam perlawanan pembukaan Belgium menentang Kanada lewat hari ini, berkata dia tidak berasa selesa.

“Saya takut jika saya mengatakan sesuatu mengenai perkara ini saya mungkin tidak dapat bermain esok,” kata pemain pertahanan itu.

“Ia satu pengalaman yang tidak pernah saya rasai dalam bola sepak sebelum ini. Saya rasa terkawal. Saya takut untuk mengatakan sesuatu tentang ini.

“Kami hanya bercakap perkara biasa tentang perkauman dan diskriminasi dan jika anda tidak boleh bercakap mengenainya, katakan semuanya.

“Saya mahu muncul di padang esok (pagi tadi), jadi saya biarkan sahaja,” katanya. — AFP