PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan ganjaran sebanyak RM10,000 untuk setiap pemain dan jurulatih pasukan sepak takraw kebangsaan susulan kejayaan yang dicipta pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw Tahun 2024, Mei lalu.

Khabar gembira itu dibuat semasa Anwar mengadakan pertemuan bersama skuad sepak takraw negara pada Isnin, sekali gus membincangkan hala tuju dan penambahbaikan yang boleh dibuat untuk wira-wira negara tersebut.

“Hari ini saya berpeluang bertemu dengan pasukan sepak takraw kebangsaan yang telah memenangi pingat emas dan merangkul gelaran juara berganda dalam Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw Tahun 2024 pada Mei lepas.

Skuad sepak takraw negara ketika menerima trofi di final Sepak Takraw Dunia 2024.

“Antara perkara yang dibincangkan semasa pertemuan ini ialah keperluan mewujudkan stadium sepak takraw negara, status sukan sepak takraw sebagai sukan bukan teras, peluang melanjutkan pelajaran serta kerjaya dan kebajikan atlet sepak takraw.

“Dalam pertemuan ini, saya turut umumkan pemberian imbuhan kemenangan sebanyak RM10,000 untuk setiap pemain dan jurulatih pasukan sepak takraw kebangsaan.

“Sekalung tahniah dan penghargaan tertinggi buat seluruh anggota pasukan sepak takraw kebangsaan yang telah mengharumkan nama negara serta melonjakkan imej serta standard sukan sepak takraw kebangsaan di persada dunia,” menurut Anwar Ibrahim menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman X.

PM Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan skuad sepak takraw pada Isnin.

Untuk rekod, skuad sepak takraw kebangsaan berjaya memahat sejarah setelah menundukkan Thailand pada saingan akhir acara regu dan double dengan masing-masing menyaksikan keputusan 2-0.

Tidak lupa juga, skuad regu berpasukan yang berusaha keras untuk menamatkan badi kekalahan 33 tahun terus dibenam Gajah Perang setelah tewas 1-2 dalam aksi final di Stadium Titiwangsa.