KETUA jurulatih Malaysia Bawah 23 Tahun, Juan Torres Garrido, dengan tulus mengakui bahawa pasukannya telah melakukan beberapa kesilapan sepanjang saingan Piala Asia B-23 Qatar 2024.
Kesilapan itu termasuk yang berlaku semasa Malaysia menghadiahkan penalti, telah memberi impak yang besar terhadap perjalanan pasukan dan menyebabkan mereka akhirnya tersingkir awal dari pertandingan.
Katanya lagi, ini adalah satu keputusan yang mengecewakan buat pasukan serta penyokong dan pasti akan mengambil iktibar daripada pengalaman ini untuk memastikan pasukan bersedia dengan lebih baik dalam saingan akan datang.
“Sudah tentu saya tidak boleh berpuas hati dengan keputusan ini. Perasaan sekarang sangat sukar untuk digambarkan, dalam keadaan Malaysia memberikan penalti, pemain kita melakukan kesilapan.
“Walau bagaimanapun, saya meramalkan masalah itu kerana pemain Malaysia masih muda dan tidak berpengalaman. Kami melakukan terlalu banyak kesilapan dalam perlawanan ini,” katanya.
Kekalahan aksi kedua menyaksikan skuad negara sah tersingkir seawal dari peringkat kumpulan pada kejohanan ini meskipun masih berbaki satu perlawanan lagi.
Dengan satu sahaja lagi perlawanan yang perlu dihadapi iaitu menentang Kuwait, Garrido berharap para pemainnya dapat melakukan yang terbaik pada aksi tersebut.
Meskipun peluang untuk melangkah ke peringkat seterusnya sudah tidak mungkin, perlawanan menentang Kuwait masih penting bagi Malaysia untuk menamatkan penyertaan mereka dengan gaya yang baik dan memberikan keyakinan untuk masa depan.
“Pemain Malaysia berada di sini bukan sahaja untuk diri kita sendiri, tetapi juga untuk mewakili warna bola sepak Malaysia.
“Satu-satunya perkara yang saya harapkan ialah pemain akan berusaha untuk itu (menang ke atas Kuwait),” ujarnya lagi.
Aksi Malaysia B-23 menentang Kuwait B-23 akan berlangsung pada 23 April jam 11.30 malam di Stadium Al-Janoub.