PASUKAN gergasi negara, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan Murilo Henrique sebagai tonggak baharu mereka yang beraksi sebagai pemain sayap untuk menghadapi saingan musim 2024/2025.

Pemain kelahiran Brazil ini merupakan bekas bintang pasukan SJK Seinajoki dan dirinya tidak lagi berkhidmat buat SJK sehingga bergelar ejen bebas.

Henrique juga pernah beraksi bersama beberapa buah kelab di Eropah sebelum ini seperti di Sepanyol, bawah kelab Ourense CF dan Cultural Areas selain merupakan bekas pemain Rio Ave FC bawah 19 tahun.

Sementara itu, pengumuman JDT yang membawa masuk pemain berusia 28 tahun ke dalam skuad Harimau Selatan ini juga telah menjadi perhatian penyokong bola sepak tempatan apabila kelab itu sebelum ini telah merekrut import baharu seperti Jalil Elias dan juga Chico Geraldes.

Lebih menarik apabila gandingan mereka telah dikuatkan lagi dengan Fernando Forestieri yang sebelumnya dikatakan meninggalkan JDT tetapi telah membuat pusingan ‘u-turn’ apabila dia akhirnya kekal berkhidmat buat JDT.

Untuk rekod, Henrique telah mencatatkan dua gol serta 21 bantuan jaringan dalam keseluruhan 67 perlawanan bersama SJK Seinajoki.